Minggu, 03 April 2011

Home » Kejamnya Kau Cikgu..Pukul Murid Darjah Satu Sampai Mati

Kejamnya Kau Cikgu..Pukul Murid Darjah Satu Sampai Mati















Usia kanak-kanak itu baru 7 tahun. Dia seorang anak yatim yang kematian ibu empat tahun lepas, manakala ayahnya pula tinggal di Langkawi. Tiada tempat menumpang kasih, dia dipelihara keluarga angkat di Jejawi, Perlis. Keluarga angkatnya menghantar dia bersekolah di Sekolah Agama Rakyat Jejawi dan bagi memudahkan pembelajaran, dia tinggal di asrama sekolah.


Tapi pagi tadi JR mendapat kabar kanak-kanak itu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, telah tiada lagi. Dia pergi buat selamanya selepas 3 hari terlantar koma di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, selepas dipukul oleh seorang guru sekolahnya. Kejamnya kau cikgu...pukul murid darjah satu yang tenaganya tak sekuat mana itu, hingga mati!!

Jenazah adik Saiful dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka, Kangar petang tadi. Al-fatihah untuk anak kecil ini yang pergi menemui ibunya yang meninggal dunia empat tahun lepas.

Kejadian guru pukul murid ini dilaporkan berlaku pada pukul 7 malam pada Khamis lepas apabila seorang guru lelaki yang juga penyelia asrama berumur 26 tahun telah memukul murid tersebut yang diikatnya di tingkap asrama sekolah selama hampir dua jam sehingga akhirnya murid itu  pengsan. Murid itu disiksa guru berkenaan kerana dikatakan enggan mengaku dia mencuri.

Ibu angkat mangsa, Hazirah Chin, 38, berkata dia dapat melihat kesan melecet pada pergelangan tangan mangsa selain kesan lebam di bahagian matanya akibat dipukul sebelum Saiful menghembus nafas terakhir.

"Ketika mula-mula masuk asrama, arwah gembira sangat-sangat. Dia kerap balik sebab sekolah tak sampai satu kilometer dari rumah kami,” beritahu ibu angkatnya.

JR tak faham mengapa gurunya bertindak sekejam itu. Jika pun benar kanak-kanak itu mencuri, apakah dengan menyiksanya dapat membantu mengubah dirinya menjadi lebih baik?  Guru itu mungkin lupa sekolah ialah premis untuk mendidik kanak-kanak dan bukan penjara untuk menghukum mereka.

Semoga roh Allayarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman di syurga. Seperti kata Al-Imam An-Nawawi, ijmak di kalangan ulamak-ulamak yang muktabar sepakat bahawa kanak-kanak Islam yang meninggal sebelum baligh, mereka akan di tempatkan di syurga. 
Tak apalah di dunia adik Saiful disiksa oleh gurunya, kerana syurga indah sedang menunggu kedatangannya.....